Monday, December 17, 2012

Deklamasi Isyarat Cinta Salah Baca

Cinta adalah rasa yang bukan dibuat-buat. Bukan rasa yang dimuat-muat. Cinta hadir dengan sendiri. Bergantung pada bagaimana hati kita mengolah keputusan yang terhasil dari garapan sanubari. 

Cinta itu cuma nyata hadir setelah kita dapat menerima kekurangan seseorang walaupun pada mulanya kita terpikat pada kelebihannya. 

Cinta itu tidak boleh dipaksakan atas orang lain dan orang lain tidak boleh pula memaksa cintanya ke atas kita.

Mencintai seseorang yang mencintai kita itu adalah keterlanjuran. Tetapi mencintai seseorang yang tiada rasa cinta kepada kita itu adalah ketersasaran. 

Ketersasaran itu boleh sahaja digerakkan oleh kekhilafan minda kita dalam menelaah isyarat palsu yang dijadikan mainan. Mainan itu mungkin sahaja cara seseorang itu menghiburkan hati yang tidak mapan..

Justeru, tiada siapa yang patut disalahkan. Yang bermain akan terus bermain. Yang dipermainkan akan terus dipermainkan asal sahaja pengalaman tidak pernah mengajarnya apa-apa. 

Pedoman dalam gelora ini hanya bergantung kepada tahap usia, paras kematangan dan natijah dari pertelingkahan isyarat antara dua manusia yang mempunyai falsafah berbeza tentang cinta.

Maka, maafkanlah sesiapa yang kelihatan mempermainkan gejolak hati anda, yang kelihatan mempermainkan hasrat tulen anda dan yang mendorong anda mentafsir sesuatu yang hakikatnya salah dan boleh sahaja berakhir parah.

Pengalaman hidup itu mematangkan. Sebelum kita merasa kecewa, bukankah lebih baik kita mengeluarkan diri dari sebarang kemungkinan yang mengecewakan?

Manusia itu tercipta dengan berbagai sifat dan sikap ke atas manusia lain. Untung rugi jalan hidup juga berbeza. Pada yang terbiasa dengan kesenangan, tiada ruginya menghiburkan hati sendiri dengan apa juga cara yang memberi gembira. Pada yang kesusahan, tiada ruginya pula untuk melakar jalan yang menyenangkan walaupun ditabir tirai kepayahan.

Pada satu peringkat, ketika dua fahaman bertembung, maka bertelagahlah firasat yang membawa aspirasi berbeza dalam merungkai apa sebenarnya yang dikehendakki secara bersama.

Tidak mungkin ada cinta yang tumbuh semudah cara. Kerana cinta itu suci. Yang menjaja cinta dengan kata-kata murah, tetaplah juga mempunyai junjungan cinta yang suci untuk dipelihara. Yang menatang cinta semahal jauhari, tetap sahaja mengambil langkah berhati-hati demi mengelakkan kabilah cintanya dirompak secara sia-sia.

Rumusannya, pada situasi seperti ini, tidak mungkin wujud cinta itu secara bersama. Pada masa anjing menggonggong, kabilah akan tetap berlalu. Masa terus beredar menjana jawapan demi jawapan untuk sebuah keputusan.

Bagi yang murah kata cintanya, pasti jua akhirnya akan terserlah cinta mahalnya. Bagi yang mengusung cintanya yang dirasakan berharga, tetaplah akan tiba ke destinasi yang jelas dan pasti akhirnya jua.

No comments:

Post a Comment