Friday, August 3, 2012

Dilema Penjawat Awam

Apakah yang anda rasa, jika anda menerima panggilan dari pihak yang menawarkan anda beribu-ribu ringgit menjelang lebaran?  Bahkan, ia bukanlah 'prank' atau 'scam'. Ia betul-betul kejadian. Cuma, ada perjanjian tertentu untuk tempoh tertentu. Kisahnya begini,

Memang aku ade buat pinjaman dengan CIMB Islamic beberapa tahun nan lalu. Tahun Gajah la kiranya sebab dah lama sangat. Tetiba tu kan , minggu lepas ade pihak dari syarikat kewangan BSBM (bukan nama syarikat sebenar) pun telefon aku dengan menawarkan pinjaman overlap.

Katanya, dengan potongan yang sama dengan aku tengah dok potong ni, aku boleh dapat Rm4,000 sebelum raya ni. Temptation run wild lah kan. Adat manusia itu kan tamak. Gaji 25/7 bonus 9/8, gaji lagi 13/8 semuanya membuatkan aku dah dapat beraya dalam kecukupan. Tapi aku tetap bertemptation untuk mengejar tawaran tersebut.

Baiklah, jika pihak cik serius nak tawarkan overlap itu, sila lah hantar borangnya. Zas! Esoknya, borang sampai ngan Pos Laju. Err.. Er.. Er... Nak isi ke tak nak ni?

Punyalah berjuta umat swasta yang sanggup bergolok gadai sebab duit tak berapa nak ada saat nak menyambut raya, kami-kami pekerja gomen, acapkali (wah) ditawarkan wang beribu-ribu demi untuk merantai belenggu kaki kami dengan bayaran balik hingga ke pencen.





Thursday, August 2, 2012

Secebis Rasa Nukilan Jiwa


Sekian lama menduga pada fikiran yang berbicara dalam sulit, pada angin yang mengutus khabar, pada naluri yang membicarakan sesuatu tanpa kepastian, maka ditemukan jawapan untuk sekajang lontaran persoalan. Terluah dari sebuah wajah yang melindungi semesta kedukaan. Jawapan kini menutup persoalan yang ditari mengikut rentak ragu dan hairan. Yang membuah bicara bernada ihsan, bersulam nada-nada sindiran dan diadun nada-nada cacian. Lalu tercetus sebuah pengembaraan dalam usaha membebaskan sebuah rahsia dari kurungan empunya tajuk bicara.

Kabus geram, amarah, benci, kecewa, letih, jelik dan muak yang melangsiri sebuah kenyataan selama dua baris minggu, sekonyong-konyong hilang dan terciptalah bayu kasih, ihsan, sedih, sayang, ketersentuhan dan simpati dalam cuma separuh malam dan bertiup sayu.

Maka terbitlah hakikat yang mendasari sebuah kisah. Tentang ketentuan dan kedukaan, kecelaruan dan kehampaan, kekuatan dan keredhaan serta kehilangan dan ketegangan. Terkarya seruan buat taulan merenung tauladan.

Tiada yang lebih mulia dari naluri kasih sayang seorang yang dicipta terhadap penciptanya. Namun, dengan kesibukan mewarna nafsu beserta keselesaan untuk berlengah dan kelekaan menghayati hiasan duniawi yang terjamu, sang dicipta hilang kesempatan meluangkan masa bagi menghadirkan penghargaannya terhadap sang pencipta dan membiar detik berlalu menghitung masa.

Namun, kasih sayang sang pencipta tidak pernah pudar ke atas ciptaannya. Kasih sayangnya kukuh dalam genggaman dari saat ia mencipta, hinggalah saat ia melepaskankan untuk ditinggalkan. Adalah sesungguhnya pencipta dan ciptaan itu ditakluk fitrah dan diikat ketetapan. Tetap pergi untuk kembali kepada Yang Maha Mencipta.

Ibarat ledakan tanpa petanda, fikiran menjadi berkecamuk mengenangkan sebuah hakikat tersurat yang muncul tiba-tiba dan merentap lamunan duniawi buat seketika. Suratan yang datang telah menerpa jiwa sebelum jangkaan lalu menampar pipi sebuah wajah yang enggan bersedia. Maka bertamulah rasa sebak, rasa kecewa, rasa hilang, rasa bingung, rasa sepi, rasa putus asa, rasa bersalah, rasa menyesal, rasa patah hati, rasa murung, yang kemudiannya teradun menjadi satu tekanan rasa yang berupaya melukakan minda.

Adunan perasaan yang tepu ini menyebabkan tiada apa yang lebih penting dari keterpaksaan dalam menuruti sebuah desakan emosi yang cukup membingungkan tatkala saat itu jiwa telah terbenam ke dasar kekecewaan yang amat dalam sehingga membuatkan segala dalam genggaman jatuh terlucut di luar kepedulian. Masa adakalanya terhenti, adakalanya berlari. Tiada apa lagi yang dapat digenggam hatta sekelumit keyakinan melainkan kehilanganlah jua pada segalanya.

Setiap kedukaan telah dijanjikan kebahagiaan. Setiap kesakitan adalah dosa yang disucikan. Setiap yang buruk bukanlah pintu kerahmatan. Setiap tapak melangkah telah tersedia satu keputusan.

Tidak mula sesuatu itu jika ia tidak berakhir. Tidak tegak sesuatu itu jika ia tidak tumbang. Tidak wujud sesuatu persoalan itu tanpa dijanjikan jawapan. Tidak wujud kasih sayang itu tanpa dijanjikan sebuah akhiran. Namun segala-galanya tergantung di seutas tali yang mapan. Tali yang tiada awalan tiada akhiran. Itulah peneguh dua ufuk kekuatan. Itulah dipanggil zat Tuhan. Tiada anugerah tanpa permohonan. Pohonlah semudah menadah tangan. Mudah lagi bersaksi iman.

Maka tamatlah karya persoalan yang berkertaskan sebuah tabir persahabatan.Tabir tercipta mendindingi perkasihan dari kemarahan. Telah jelas pada sekumpulan pemikiran tentang sebuah perbedaan. Hilang sebutir berlian tidak terbanding lenyapnya segunung intan.

Semoga keruh kelodak yang terkocak di sungai jiwa diempang kematangan akal untuk berfikir. Semoga tekanan sebuah duka diimbang kerelaan menjadi saksi bagi sebuah ketetapan. Sesungguhnya, bagi setiap batu jemala itu, telah tercipta junjungan dugaan. Hanya masa penetap giliran.

Wednesday, August 1, 2012

Bazar Ramadhan Terbesar Di Perak

Tahukah anda letaknya di mana? Pasti anda tidak tahu kerana saya belum memberitahu. Ia terletak di kampung halaman saya lah. Takkan kampung halaman anda pulak kan. Inilah Bazar Ramadhan Taman Perpaduan. Bazar Ramadhan Taman Perpaduan amat digemari oleh pengunjung di serata Ipoh kerana lorongnya yang sempit dan kegiatan adakala terpaksa berjalan mengiring. Maka mudahlah menyagat itu dan ini. Astaga. 
 Keseluruhan Bazar Ramadhan ini terletak di Dataran Perpaduan 2, off Jalan Perpaduan Selatan. Panjangnya adalah 350 meter dengan barisan gerai yang mencecah 750 meter. 

 Jika satu lot gerai berkelebaran 2 meter,  sejumlah 350 gerai tersedia di sini untuk pilihan juadah yang membuka selera, yang pelik dan yang tidak-tidak serta bukan-bukan, yang hanya muncul di Bazar Ramadhan. Ini mengundang tingkahlaku pembaziran yang berleluasa yer tuan-puan.

Namun hanya ini yang saya beli. Cheezy Wedges kampung yang berharga RM1.50 setiap satu. Selebihnya, my kakak lah yang buat kuih segala bagai sebab aritu dia buka puasa sama kami.

Monday, July 30, 2012

Penampakan Imej Hantu Di The Banjaran Hotsprings , Tambun

Malam tadi, ketika reronda taman aku selepas terawih, aku saja-saja bebosan snap gambar slow speed shutter untuk kecantikan dinding gunung batu kapur setinggi lebih 400 meter yang disuluh dengan lampu limpah dari The Banjaran Hotsprings & Retreat, yang dahulunya dikenali sebagai Kolam Air Panas Tambun. Jauh sebelum itu, pada tahun 1820an, kawasan tersebut dikenali Bendang Ayer Hangat dan dihuni oleh Datuk Panglima Kinta Ke 5 , Ngah Ghapar, sebelum beliau didapati hilang di kawasan batu kapur tersebut setelah dikatakan dilamar untuk berkahwin dengan anak perempuan pemerintah bunian di kawasan tersebut.

Tanpa disangka-sangka, gambar yang mulanya kelihatan cantik, rupanya menonjolkan bayangan yang menakutkan. Wajah hodoh seperti tengkorak yang masih mempunyai isi di muka sedang menjerit, tergambar jelas. 




Seperti biasa, kami kumpulan tak heran ini menikmati beramai-ramai pemandangan tersebut dan masing-masing bercerita tentang potensi pelancongan dari imej yang kelihatan menakutkan itu. Gitulah mereka yang tidak takut lagi pada hantu hanta ini kerana mereka pun sebenarnya sebahagian dari hantu hanta ini.