Wednesday, April 13, 2011

Kematian Akibat Tsunami Jepun Adalah Padah Mengabaikan Pesanan Nenek Moyang Sendiri

Kadang-kadang, ingatan nenek moyang kita, jika dilupakan, akan membawa bencana. Itulah yang terjadi di Jepun.

Walaupun tembok batu yang kukuh tidak dapat menghalang kemusnahan yang dibawa oleh tsunami, tetapi seketul batu yang terpacak di Aneyoshi (gambar sebelah), benar-benar menyelamatkan penduduk di situ.

Batu itu tertulis 'Menetap di kawasan tinggi menyelamatkan anak cucu kita - Ingatlah bencana yang dibawa oleh tsunami besar - Jangan bina rumah kawasan bawah dari titik ini '.

Nasihat ini dipatuhi oleh penduduk Aneyoshi dan penempatan mereka terselamat dari diterjah tsunami baru-baru ini yang telah membunuh berbelas ribu orang yang mendiami kawasan yang lebih rendah dari kedudukan batu tersebut.

Dikatakan terdapat beratus-ratus batu penanda sedemikian di sepanjang kawasan pantai Jepun dengan ada diantaranya berusia lebih 600 tahun melambangkan betapa kerapnya tsunami menerpa pantai Jepun dalam satu jangkamasa yang panjang.

Setiap satunya belum tentu ditandakan pada titik yang benar-benar selamat kerana ada diantaranya yang turut hilang akibat ditelan tsunami yang berulang-ulang selama beratus-ratus tahun.

Salah satunya menyebut, 'Beringatlah tentang tsunami saat digoncang gempa bumi'. Dalam kemodenan dan hiruk pikuk masyarakat moden Jepun, segalanya dilupakan. -- AP

Monday, April 11, 2011

Love Transition

Khabar yang baru diterima, mak aku memerlukan stokin batu untuk sebulan lagi. Kata doktor, 12 Mei baru stokin batu di kaki mak aku akan di buka. Tulang dah bersambung tapi belum cukup kuat. Berkat kuasa Allah melalui pembalunan susu Anlene setiap hari. Maknanya mulai saat ini, mak memerlukan supply susu Anlene setiap hari sampai bila-bila.

Begitulah apa yang telah difirmankan Tuhan. Dia menjadikan hambanya hidup di dunia dalam satu kitaran. Dari kanak-kanak, menjadi dewasa, dan menjadi kanak-kanak semula. Kini, orang tua kita dapat lihat, semakin tua, semakin memerlukan keperluan kanak-kanak semula. Itu satu realiti.

Kadang-kadang kita terlupa orang yang sepatutnya kita kasihi. Orang yang sebetulnya layak untuk kita bersama mereka bagi menyenangkan hati mereka. Seorang ibu mampu menjaga 10 anak. Tetapi 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.

Kadang kita terfikir, sebab apa kita ditakdirkan belum ada rasa untuk membina keluarga sendiri. Khususnya orang macam kita. Adakah Tuhan tersilap dalam membentuk hambanya?

Sama sekali tidak. Dia tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Dia mempunyai sebab untuk menjadikan babi sebagai makhluk ternakan yang mempunyai daging paling sedap antara semua jenis ternakan, kemudian mengharamkan babi ke atas mereka yang beriman kepada-Nya.

Begitu jugalah Dia mempunyai sebab untuk menciptakan makluknya yang mempunyai kelainan seks tetapi mengharamkan makhluk istimewa itu dari menikmati seks yang berlainan itu.

Antara sebab yang jelas dan boleh difahami mungkin sangat mudah. Supaya sang ibu yang melahirkan anak-anak yang ramai tidak ditinggalkan oleh kesemua anak-anaknya untuk menghadapi hari tua. Akan ada anaknya yang tidak akan ke mana-mana dan akan terus bersama menjaganya hingga tutup usia.

Adakala, kita akan berhadapan dengan situasi di mana kasih sayang yang cuba kita curahkan, perhatian yang cuba kita berikan dan nasihat yang cuba kita sampaikan kepada orang yang kita hadirkan untuk disayangi itu sebenarnya tidak diperlukan langsung olehnya.

Ia seolah-olah perbuatan bida'ah yang akhirnya cuma memalukan diri kita je. Ia mungkin seperti hujan yang menyirami gurun. Malah akhirnya diakhiri dengan cara yang cukup menyakitkan. Yang jelas menunjukkan isi hati sebenar orang yang kita sayang.

Semua yang berlaku mempunyai alasan tersendiri untuk berlaku. Semua orang mempunyai masalah sendiri dan dilema sendiri. Kita tidak perlu terlalu pentingkan diri dengan masalah kita kerana tidak ada untung berlaku sombong dengan beralaskan masalah-masalah. Beruntunglah kerana ada yang sudi mendengar, membaca dan berikhtiar untuk membantu.

Akhirnya kita akan terasa ibarat tersedar dari tidur yang panjang. Mimpi indah kita itu sebenarnya agak palsu seperti kes telur palsu yang heboh sekarang ni. Adakah kita sebenarnya tersilap mencurah kasih?

Apa yang aku rasa ini mungkin balasan untuk aku yang tak balik ke Ipoh minggu ni untuk memapah mak aku berjumpa pakar ortopedik hari ni, kerana lebih mementingkan orang lain yang sebenarnya tak perlukan aku pun.

Datangnya saat begini, kita mulai sedar. Kepada siapakah kasih sayang kita patut kita curahkan dan bakal dihargai oleh manusia dan semestinya oleh Pencipta.

Sekian posting aku yang pertama dan terakhir berkaitan perasaan aku ke atas orang lain dalam musim ini. Segalanya dah aku pindahkan kepada yang lebih berhak.