Wednesday, January 16, 2013

Hantu Itu Muncul Buat Mereka Yang Takut

Anda seorang penakut? Jika demikian, wajarlah anda akan sentiasa dapat melihat hantu. Ini kerana hantu jembalang hanya dapat dilihat oleh mereka yang penakut.

Jarang penampakan hantu boleh dilihat lebih dari seorang. Jika berlaku, sila serbu hantu itu kerana barangkali itu adalah sekujur manusia yang hidupnya suka menakut-nakutkan orang.

Ini kerana hantu jembalang hanya berdiri di selaput mata seseorang yang memang takutkan hantu dalam hidupnya. Ia adalah imej cernaan otaknya yang kusut akibat ketakutan dan kerap membayangkan rupa buruk puaka yang mungkin timbul di depannya.

Dulu, aku memang gerun dengan hantu hanta ini. Tetapi pengalaman di tahun 2000 - 2001 telah memusnahkan rasa gerun tersebut.

Pada  ketika itu, aku bekerja di tebing Sg. Perak di pendalaman Sg. Siput bersama sebuah konsultan kejuruteraan dalam projek pembinaan sebuah jalan raya. 

Oleh kerana aku menipu kononnya aku pandai menggunakan komputer semasa temuduga, kerja aku sebagai kerani dokumen ditapak itu sememangnya memerlukan aku bergelumang dengan kerja-kerja komputer.

Lalu aku mengambil keputusan untuk bermalam di kabin kontena pejabat tapak tersebut yang terletak jauh dari rumah orang. Yang ada di situ ialah sebuah masjid tua, perkuburan tua di pinggirnya dan sebiji rumah yang didiami oleh sekeluarga yang selalunya sunyi.

Hanya setiap petang Jumaat, aku akan pulang ke Ipoh dan kembali bermalam di kabin tersebut mulai hari Isnin. Jarak 88 km pergi balik memang tak mampu la untuk berulang.

Jarak perkuburan tua tersebut dengan pejabat aku ialah kira-kira 20 meter. Masjid tersebut tak pernah digunakan sejak berpuluh tahun. Ini kerana perkampungan tersebut telah terhapus akibat ancaman komunis yang pernah membunuh penduduk kampung beramai-ramai di kawasan tersebut.

Tetapi, oleh kerana iltizam dan iktizam yang kuat, aku bergelumang dengan dunia aku di dalam kabin itu sahaja pada waktu malam. Ada radio, ada air-cond, ada internet. Walaupun terpaksa kencing botol kerana takut nak keluar, dalam tempoh 3 bulan sahaja, aku telah mahir menggunakan komputer. Words dan Excel telah terbiasa. Formula telah pandai direka-reka.

Akhirnya jalan tersebut siap. Beberapa bulan sebelum aku tamat kontrak, kawasan bersebelahan pejabat aku dibangunkan PPRT yang menempatkan hampir 20 buah rumah. Kawasan yang angker terus jadi meriah. 

Sepanjang aku tinggal dalam kabin tersebut, tiada apa-apa gangguan hantu. Sebelum aku tinggalakan penduduk situ yang sangat baik, aku ditanya oleh salah seorang otai kampung tu. 

"Ada kamu nampak hantu sepanjang kamu duk sini?" 
"Tak ada pun."
"Itu tandanya sebenarnya kamu tak takut hantu."
"Ye ke? Sebab apa pulak?"
"Sebab kawasan ni memang berhantu."
"Errr..."

Nasib baik itu hari last aku kerja situ. Tapi penjelasannya cukup kuat untuk aku jadikan pedoman.

Di tahun 2010, aku hanya tersenyum apabila housemate aku mengadu ternampak kelibat orang tua merangkak dalam rumah lah, perempuan mencangkung atas bumbung blok depan lah dan berbagai lagi. 

Semoga dia mencari jalan untuk memulihkan jiwanya yang sebenarnya kekacauan.




Satu ketika lalu di tebing Sg. Perak.

No comments:

Post a Comment