Wednesday, January 5, 2011

Fenomena Gerhana Matahari Di Eropah



BERLIN 4 Jan. - Gerhana separuh matahari berlaku di seluruh Eropah, Afrika Utara dan Asia Tengah hari ini, walaupun ia dilindungi awan tebal di kebanyakan bahagian di Eropah.

Gerhana matahari berlaku apabila bulan bergerak antara bumi dan matahari, yang kemudiannya melindungi sinaran matahari. Dalam kes gerhana separuh, matahari akan hilang menjadi rupa seakan bulan sabit.

Gerhana itu yang merupakan pertama tahun ini, begitu ketara di Sweden pada kira-kira pukul 8.30 pagi (3.30 petang waktu Malaysia) dan berlangsung di utara sehingga pukul 10.30 pagi (5.30 petang waktu Malaysia).

Orang ramai yang mendongak ke langit di timur Sweden dapat menyaksikan pemandangan terindah fenomena gerhana matahari itu.

Pakar astronomi menjangkakan lebih 80 peratus matahari dilindungi oleh bulan di Sweden.

Di negara jirannya iaitu Norway, gerhana itu hanya dapat dilihat di bahagian selatan negara itu kira-kira pukul 9.35 pagi (4.35 petang waktu Malaysia).

Di Jerman, gerhana mencapai tahap penuh antara pukul 9.18 pagi (4.18 petang waktu Malaysia) di bahagian selatan bandar Munich dan 9.27 pagi (4.27 petang waktu Malaysia) di Berlin.

Kesannya lebih dramatik di utara Jerman, di mana sebahagian besar matahari dilindungi bulan.

Di kebanyakan negara di Eropah bagaimanapun, fenomena itu dilindungi awan, menyebabkan suasana gelap yang dicetuskan oleh gerhana matahari kurang dirasai.

Gerhana separa matahari dijangka sekali lagi akan berlaku pada 1 Jun, 1 Julai dan 25 November tahun ini. - dpa

No comments:

Post a Comment