Friday, April 5, 2013

Sejarah Melayu Ipoh 2

Dulu ada dikisahkan petikan sebuah blog yang menceritakan sejarah bandar Ipoh siri 1. Lupa dah bila. Ini rentetan kisah artikel keduanya...



Sejarah Melayu Ipoh 2

Sejarah Lembah Kinta dikatakan bermula tidak kurang 1,500 tahun lalu berdasarkan penemuan relik-relik Buddha dari zaman Srivijaya di Tanjung Rambutan (1893) dan Lahat (1931) tertanam berpuluh-puluh kaki di dalam tanah. Pada ketika itu, dikatakan Kinta terletak dipertengahan jalan darat antara pusat kerajaan Melayu Buddha Srivijaya di Palembang dengan kerajaan Melayu Buddha Khmer dan Campa di Indo-China.

Kinta juga dikatakan pusat pentadbiran Gangga Negara pertama sebelum Beruas dan penemuan ini dikatakan terlambat kerana Kinta telah musnah akibat kegelojohan pelombong memusnahkan muka buminya demi bijih timah.

Timah telah dilombong di Kinta pada waktu itu untuk membuat matawang. Ia turut menjadi tumpuan pedagang India dan China yang juga mahukan logam tersebut. Tetapi pada abad ke-9 dan ke-10, Kinta telah ditinggalkan secara misteri dan terbiar sehingga dibuka semula 700 tahun kemudian oleh Sultan Perak untuk aktiviti melombong.

Kisah Datuk Panglima Kulop Kinta yang dikatakan memberi nama Kinta dari bunyi bergenta semasa memudik Sg Kinta tidak memberi apa-apa kesan ke atas penerokaan Ipoh. Keturunan beliau sebahagiannya telah berasimilasi dengan orang asli tinggal di kawasan yang lebih hilir manakala sebahagian keturunannya ada yang menyerap ke dalam masyarakat Temiar dan menduduki kawasan yang lebih hulu.

Sehingga tahun 1750, Ipoh masih dipenuhi hutan rimba di mana gajah dan badak banyak ditemui menjadikan ia tumpuan pencari hasil hutan, tanduk sumbu badak, melombong kecil-kecilan dan menjerat gajah.

Tok Tambak, cucu kepada Tok Changkat Piatu, menjadi Datuk Panglima Kinta pertama dalam sejarah bertulis pada tahun 1750an. Tok Changkat Piatu inilah yang memiliki ciri-ciri dan kesamaan yang paling jelas sebagai nakhoda Sumatera yang bergelar Datuk Panglima Kulop Kinta.

Tok Tambak telah berkahwin dengan Toh Puan Intan, generasi keenam Tun Saban. Anaknya Tok Changkat Segar, Datuk Panglima Kinta Kedua, membuka Kampung Paloh manakala anaknya lagi satu, Tok Changkat Rembia yang menjadi Datuk Panglima Kinta Ketiga, membuka Kampung Kepayang (berdekatan Stadium Perak hari ini).

Bermula dari itu, penggiliran antara kedua-dua pasak Paloh dan Kepayang menjadi tradisi perlantikan Datuk Panglima Kinta.

Dua kampung inilah yang menjadi permulaan kepada kemasukan pelombong-pelombong Melayu dari hilir dan mencetus pembukaan lebih banyak kampung dalam tempoh 50 tahun, termasuklah Kampung Ipoh yang akhirnya menjadi ibu negeri Perak.

Bersambung esok.

Sumber rujukan : Kinta Valley (2005) Khoo Salma Nasution, Abdurrazaq Lubis

No comments:

Post a Comment