Monday, April 1, 2013

Aku Dan Johor Bahru



Sebagai orang 'rantau utara', aku hanya mengenali Johor Bahru pada tahun 2007. Pada masa itu, cinta telah membawa aku ke kota paling selatan di Malaysia. 

Cinta telah membuatkan aku menunggang dari Equine Park ke Puduraya, meninggalkan motor di Puduraya dan menaiki bas ke sebuah tempat yang aku belum pernah terbayang rupa bentuknya. Cinta telah memanggil walaupun hanya sekadar ke sana untuk berbuka puasa. Cinta telah membuatkan aku hampir terlanjur mahu setiap minggu ke sana. Cinta telah memperkenalkan aku dengan Johor Bahru. Bagi aku, Johor Bahru adalah kota cinta pada saat itu. 

Penghujung 2007 aku bertukar ke Jabatan baru. Di jabatan ini, aku berpeluang untuk ke Johor Bahru dengan percuma sekurang-kurangnya 4 kali setahun. Cinta pernah membuatkan aku meminta ditinggalkan pemandu jabatan demi membungkus nasi ayam penyet kepadanya yang belum makan, menghantar kepadanya, dan bergerak ke Larkin untuk mendapatkan bas pulang ke ibukota.

Tetapi, itulah kali terakhir aku dibodohkan oleh perasaan sendiri. Johor Bahru mengajar aku soal apa itu cinta dan apa itu kebodohan.

Masa berlalu. Tahun berganti. Pengalaman mendewasakan. Kotak fikiran telah berganti isu untuk dibahas minda. Tiada apa yang sentimental tentang Johor Bahru yang tersisa dalam kotak fikiran aku selain kenangan tentang kejayaan mendesak si Azward Azis untuk membawa aku bersiar-siar ke Kota Singa dengan Suzuki Swift barunya ketika itu.

Tadi, aku ditugaskan memantau penghantaran bahan propaganda kesihatan ke Johor Bahru. Walaupun aku pertama kali ke Johor Bahru demi cinta, tugas telah selepas itu menghantar aku berbelas-belas kali ke sana.

Sang pemandu memasuki Johor Bahru melalui Skudai. Kami terus ke destinasi penghantaran, menurunkan bahan propaganda dan makan tengahari di kawasan Kampung Bahru, Jalan Abdul Samad. Kami kemudian terus pulang ke Putrajaya.

Aku seperti tidak berperasaan apa-apa langsung tentang apa-apa kenangan. Aku pun pelik. Aku memandang sebuah hotel di Skudai. Tersenyum sahajalah mengenang kebodohan silam. Aku pernah mahu menginap di situ kerana hari sudah jauh malam di kota cinta ini satu ketika dahulu. 

Aku meninggalkan Johor Bahru seperti kota-kota lain yang aku perlu sambangi demi tugas. Keganjilan terasa kerana Johor Bahru bukan calang-calang kota dalam arkib minda ini. Namun aku tersentak seketika menyedari aku tidak pernah memilih untuk bermalam di sana jika ditugaskan ke situ. Mungkin seandainya aku memilih untuk bermalam, kenangan datang menerpa tanpa aku mampu menghalang. 

Terima kasih kepada sang cinta yang itu telah membawa transformasi besar dalam hidup aku sehingga aku mampu hidup gembira selama empat tahun ini tanpa ditemani seorang cinta. 

2 comments: