Tuesday, February 18, 2014

Kronologi Diserang Demam Denggi

Adapun kisahnya tuan tanah blog silent thousand language adalah kerana jarang akses ke akaun ini, dipanjangkan pula ia oleh jatuh geringnya tuan tanah blog ini akibat demam denggi beberapa minggu lalu. Oleh kerana denggi menjadi trend di negara ini buat masa ini, diceritakan kronologi bagaimana berlakunya wabak tersebut ke dalam diri ini dari hari mula ia dikesan.

26/1/14 (18:00)
Balik dari tanah rancangan Persatuan, bersembang di tepi tempat sampah pinggir Sungai Choh, Ulu Kinta dengan si Alan, anak Tok Batin Kg. Sungai Chon selama 20 minit lalu hujan turun dalam musim kemarau ini. Pulang basah lenjun.

26/1/14 (22:00)
Hujan selama 3 jam berhenti dan kaki ini melangkah keluar lepak bersembang dengan teman-teman sambil melihat update Facebook tentang Anugerah Juara Lagu. Perlepakan berlanjutan hingga jam 2:00 sebelum gerak ke Terminal Bas Amanjaya, Meru Raya untuk menaiki bas ke Putrajaya jam 4:30 pagi.

27/1/14 (4:00)
Betis dan peha mula rasa mengilu. Badan rasa tak sedap walaupun baru lepas urut 30 minit di kerusi urut berbayar Terminal Bas itu beberapa jam sebelumnya.

27/1/14 (8:00)
Keadaan demam mengejut semakin gawat awak rasa. Lepas makan pagi, awak melayan panas badan di sofa dalam stor. Keadaan memburuk menjelang tengahari.

27/1/14 (16:00)
Rakan sekerja memberi panadol Actifast dua biji lalu ditelan. Demam jadi kebah dan berpeluh kekira sejam kemudian. Lalu pulang.

27/1/14 (21:00)
Demam kembali terjadi lalu panadol ditelan dua biji. Demam kebah sejam kemudian. Tetapi rasa demam kembali sejam selepas sejam kemudian itu.

28/1/14 (8:00)
Demam semakin kuat. Sekejap datang sekejap pergi. Sekejap berpeluh sekejap panas badan. Memaksa diri untuk kerja kerana seluruh pegawai dan pagar dawai sedang menumpukan perhatian ke stor yang dikendalikan kerana berlangsung urusan verifikasi stor yang terlewat. Keadaan lebih gawat apabila mood turun naik temper datang dan pergi melayan karenah mereka.

28/1/14 (20:00)
Demam semakin menjadi-jadi turun naiknya. Makanan tidak berasa apa-apa sejak pagi. Dua suap dan buang bermula sarapan pagi dan tengahari sehingga tak lalu makan apa-apa lagi untuk dinner. Rokok mula tidak sedap lagi. Lalu tidak dihisap lagi.

29/1/14 (09:00)
Pemeriksaan darah di Klinik Kesihatan Presint 9 tidak menunjukkan tanda-tanda denggi. Platelet ada pengurangan kepada 124 (normal 100 - 400). Suhu badan 38.5 Celsius. Diberi MC dan dinasihatkan datang lagi dalam tempoh 2 hari untuk susulan. Pulang dan terlantar di rumah sambil makan ubat. Bersiap untuk pulang ke Ipoh tetapi kesihatan sangat membataskan.

30/1/14 (08:00)
Bersiap untuk pulang ke Ipoh sekadar mungkin. Fikiran tak tentu hala seakan berkecamuk. Hanya packing 3 helai baju dan seluar sedangkan siap-siapnya untuk cuti Tahun Baru Cina yang agak panjang. Berselubung kain pelikat dalam bas sepanjang jalan dengan badan seram sejuk dan kepala sedikit berat.

30/1/14 (15:00)
Tiba di rumah Ipoh dan terbaring di sudut ruang tamu kerana demam.

30/1/14 (20:00)
Mula diserang muntah-muntah walaupun seharian tak makan apa-apa.

31/1/14 (00:30)
Sakit kepala dan demam menjadi-jadi dek bisingnya dentuman mercun Tahun Baru Cina yang tak berhenti-henti.

31/1/14 (14:30)
Dibawa sang adik ke Unit Kecemasan Hospital Ipoh untuk pemeriksaan darah. Platelet sudah tinggal 4 dan sel darah putih meningkat. Pihak hospital memutuskan untuk menahan ke dalam wad lalu  pada jam 19:00 dimasukkan ke Wad 5C, wad kelas 1 yang diubahsuai bagi menampung pesakit denggi.

31/1/14 (21:00)
Platelet menurun sehingga 4. Doktor berbincang sesama mereka untuk kemungkinan melakukan pemindahan darah. Gusi mula berdarah dan doktor melarang sebarang aktiviti memberus gigi. Bahagian atas ruang perut seperti kembung dan pedih. Doktor menyebut bahawa hati telah membengkak. 

1/2/14 (9:00)
Platelet masih dengan nilai 4 dan doktor masih memantau sebarang penurunan. Demam sudah hilang tetapi bintik-bintik mula menjalar di kaki hingga ke peha. Gusi masih berdarah. Sebelah lagi tangan ditebuk untuk memudahkan pengambilan darah. Perpeluhan melampau terjadi sehingga basah baju hospital dan cadar katil. 

1/2/14 (16:00)
Platelet telah naik ke bacaan 7. Himpunan keluarga dan rakan-rakan yang datang melawat mencecah 20 orang pada satu masa. Peluh semakin tak terkendali. 

2/2/14 (09:00)
Platelet naik ke bacaan 11. Dibawakan sup ketam oleh rakan yang dimasak oleh emaknya. Demam sudah tiada. Tekanan darah normal. Kawasan hati masih pedih. Jumlah air yang dimasukkan mencapai 8 botol.

2/2/14 (20:00)
Platelet naik ke bacaan 15. Tiada demam, tiada tekanan darah rendah, bintik-bintik merah di kaki masih jelas.

3/2/14 (13:00)
Platelet naik ke bacaan 19. Emak bawak KFC. Pemeriksaan darah sudah dikurangkan kepada 6 jam sekali. Pemasukan air dihentikan selepas 10 botol bimbang terlebih air. Doktor menjelaskan, hanya pesakit yang mencapai bacaan platelet lebih dari 50 sahaja yang dibenarkan pulang.

4/2/14 (06:00)
Bacaan platelet naik mendadak kepada 61. Doktor perlu pemeriksaan kedua untuk memastikan kenaikan bukan kerana impak sementara.

4/2/14 (11:00)
Pemeriksaan darah kali kedua menunjukkan bacaan platelet 74. 

4/2/14 (15:00)
Dibenarkan pulang selepas 92 jam ditahan di Hospital Ipoh.

11/2/14 (12:00)
Pemeriksaan darah susulan menyaksikan bacaan platelet telah mencapai 424, melebihi kadar normal 100 - 400. Alasan yang diberikan oleh doktor ialah ia normal bagi seorang perokok.

Begitulah kesengsaraannya tatkala terkena demam denggi. Namun mitos bahawa pernah terkena denggi tidak akan membuatkan terkena lagi adalah tidak benar. Ini kerana dari 4 jenis virus denggi, Den-1, Den-2, Den-3 dan Den-4 , peluang untuk setiap orang terkena demam denggi adalah 4 kali seumur hidup. Terjangkit satu varian virus denggi hanya membuatkan seseorang pesakit imun kepada varian virus itu sahaja, bukan 3 yang lain. 

Lebih menakutkan, jangkitan susulan ke atas varian yang lain boleh mengakibatkan demam denggi yang lebih serius, yang mengganggu organ-organ dalaman dan boleh membawa maut.

Di Unit Kecemasan HRPB Ipoh sebelum dimasukkan ke wad.

Pemandangan harian dari wad.


Fefeeling press conference depan rakan dan keluarga.




No comments:

Post a Comment