Sunday, February 24, 2013

Kisah Aku Dan Awan

Alkisah, masa aku Tingkatan 4, aku bukanlah budak yang baik. Aku sangat nakal. Tak wajar dicontohi oleh adik-adikku muda remaja, wajahmu manis bak gula. Pada masa tu, rekod aku keluar rumah ke sekolah, 5 hari seminggu. Tapi rekod aku sampai ke sekolah cuma sehari atau dua hari seminggu. Heran?

Itulah yang kami panggil pro sekolah. Pro ni maksud dia ponteng sekolah dengan anggapan ibu bapa, kita pergi sekolah lah. Jahatnya aku pada waktu itu ialah, aku menjebakkan diri dengan kegiatan isap gam. Peh. Raja mimpi lah. Apa lagi. Gam waktu tu paling popular kat tempat aku ialah Cap Gunung Fujiyama. Harga dia RM1.30 satu tin kecik. Bayar kat tokei hardware tu RM1.40, sebab beli plastik seposen. Plastik seposen dapat 4. Cukup lah untuk hisap gam tin kecik berempat.

Maknanya kami cuma perlu tong-tong sorang 30 sen. Siapa tong 40 sen dapatlah menguasai tin. Siapa yang hisap gam dengan tin dalam kantung plastik, dialah yang paling last habis. Kira king lah. Bila isap gam, mesti mau 'fire'. Fire tu maksudnya hisap sambil tenung sesuatu bagi menukar sesuatu itu kepada kemahuan khayalan sambil plastik kembang kecut berinteraksi dengan paru paru. Paling aku suka fire ialah AWAN! Bukan aku je. Semua kawan-kawan aku pun suka fire awan. 

Proses khayal separa mimpi ni menukar awan-awan mengikut lintasan pemikiran. Dengungan yang terasa menjadi muzik, adakala menjadi suara, adakala menjadi bunyi-bunyian alunan misteri. Awan-awan  apabila memasuki alam mimpi, akan berubah menjadi layar sketsa yang menghiburkan. Tapi awas, pada yang mempunyai saka, pada yang mempunyai hijab nipis, pada ketika inilah makhluk dari dunia sebelah sana bakal cuba bergabung dengan anda. Ada yang kerasukan di kalangan kami beberapa kali. Tapi tak serik.

Kegiatan hisap gam ini berlarutan hampir 10 bulan, setiap hari. Sedikit demi sedikit, rakan yang lain pulaukan kami. Dari berbelas kaki gam, tinggal 6 orang. Akhirnya pada satu hari cuti, kami berenam berkhayal bersama, sedang aku memfire awan, tiba-tiba, awan turun. Lalu menghempas salah seorang dari kami yang dominan di kalangan rakan-rakan. Memang hanya aku yang melihat. Sebab hasil khayalan itu mengikut fikiran masing-masing. Tetapi jelas, serentak itu kawan aku itu dirasuk makhluk halus. Dia bangun dan menyeru kami " Dengar sini semua!".

Aku serta merta mentafsir rakan aku dimasuki jin Islam yang sedang berperjalanan. Aku juga pelik. Bagaimana aku dapat mengetahui hal tersebut serta merta. 

Seorang rakan aku cuba menerpa tetapi tumbang pengsan. Kami kaget. Namun susuk tersebut hanya menyebut 'Jangan bimbang', lalu di baca sesuatu dengan menekup mulutnya dengan tangan kiri, dan seperti dilontar ke arah kawan yang pengsan itu, lalu bangun ia serta merta, berdiri, dan menunduk. Kami juga bagai dipukau untuk lepaskan plastik gam dan berdiri menunduk mendengar kata-katanya. Dengan menggunakan susuk tubuh kawan aku, dia menegur kami dengan memberi syarahan pendek. Dengan kata-kata seperti bahasa Melayu lama.Eii.. .. meremang bulu aku menulis ni. Walaupun dah 19 tahun berlalu. Dia menyebut bahawasanya itu adalah perbuatan tak baik dan harus ditinggalkan! Kemudian dia meminta izin untuk pergi dan memberi salam. Selepas itu, si kawan aku jatuh terjelepuk dan bangun mamai mencari plastik gam dia. Kami segera menariknya pergi dari situ dan mulai hari itu, aku dan mereka berhenti hisap gam terus. Satu rahmat buat kami dengan campurtangan pihak ketiga yang ghaib!

Kesemua kami menyaksikan hal ini. Tiada keraguan lagi kebenarannya. Maka berhentilah kami dari isap gam sebelum keadaan menjadi sangat lewat. Apa kesannya selepas 20 tahun ini, aku pasrah. Aku tak boleh ubah sejarah. Syukurlah tahun berikutnya, SPM aku dapat score 23 aggregate dan mengakhiri zaman sekolah dengan SPM pangkat 1. Walaupun. 

Dan hari ini, awan sangat hampir dengan aku. Setiap kali hari berawan cantik, aku akan abadikan dengan foto seperti di bawah. 






No comments:

Post a Comment