Thursday, December 13, 2012

Menanti 22.12.2012 Hari Pernikahanku Yang..

Malam makin larut. Larut makin matang. Larut Matang merupakan sebuah daerah di Perak. Bukan itu ceritanya. Ceritanya ialah tentang aku yang tak boleh tidur, ketika jam dah pukul 1.35 pagi manakala aku perlu bangun pukul 6.55 pagi bagi mengelakkan kad perakam waktu aku mengejek aku dengan ketikan warna merah.

Jauh melayang pikiran aku berserentakan (ade ke perkataan tu) dengan apa yang bermain-main difikiran aku.

Seluruh Malaya telah tahu yang aku telah berjanji untuk menikahi seseorang pada tanggal 22.12.2012. Tarikh tu aku tetapkan Januari lepas sebagai mengejek kiamat propa Yaudi iaitu kononnya pada 21.12.2012 katenye. Semasa aku membuat ketetapan jerat leher itu, aku tak ada girlfriend pun. Niat berseronok-seronok bermain tarikh itu menjadi serius.

Adik beradik aku, opismet-opismet aku, serta bos-bos aku (ramai bos lah..) semua dah tahu. Semuanya mengucapkan kata syukur pada suatu hal yang sebenarnya seloroh. Akibatnya lah kan, aku turut menjadi serius.

Belum pernah aku terdetik mengahwini sesiapa, tiba-tiba langkahku terhenti. Macam lagu nyanyian Ramli Sarip puler. Awal bulan 3, aku terjatuh hati dengan Sare'ah (memang nama sebenar), gadis Yala yang bekerja di kedai abang iparnya di hometown aku, Ipoh.

Sejak melirik Saerah yang matanya lirik-lirik selalu, rupanya manis-manis ayu itu, aku menjadi kerap pulang ke Ipoh. Tiap minggu aku balik kampung. Gurauan aku membahasakan kakak Sare'ah sebagai 'kakak ipar', diterima baik oleh isteri pemilik kedai Siam itu. Kakak si Sare'ah ler. Paham ke tidak ni?

Sare'ah memberi respon. Walaupun aku belum berhajat untuk menjelaskan maksud hati yang terkambus oleh ragu-ragu yang belum ditarah, wah, tetapi ramai kalangan kawan-kawan aku sekaki lepak kedai tu yang menyebut, sampai juga akhirnya jodoh aku.

Setiap kali aku ke kedai Siam yang kami panggil Siamese itu, Sare'ah akan ditugaskan oleh kakaknya untuk mengambil order. Sare'ah akan tersenyum malu saat perbuatannya mencuri pandang akan diriku, disedari olehku.  Seakan ada perbincangan telepati antara kami berdua. Bicara hati ke hati lah kononnya. Aku hampir pasti, Sare'ah akan menjadi milik aku tanggal 22.12.2012.

Tetapi, pada masa yang sama, Jaharudin (dekat nak sama dengan nama sebenar) dan Aiu (pun dekat nak sama dengan nama sebenar), sedang berada dalam kancah situasi yang sama dengan aku. Jaha kira kawan yang agak rapat dengan aku kat Ipoh. Aiu pula adalah gadis kerja kerajaan yang suka melepak dengan kami. 

Jaha meminta nasihat aku bagaimanakah caranya dia untuk dia meluahkan rasa hati dia pada Aiu. Aku pula, menceritakan apa yang patut bagi seorang lelaki untuk memikat wanita yang tidak diketahui maksud hatinya. 

Tetapi, sesuatu yang tak disangka, seringkali mendatangi kita. Lagu lagi. Pada suatu malam, ketika Sare'ah menghantar minuman yang dipesan kepadaku, tiba-tiba, Jaha, dengan niat membalas jasa-jasa aku membantu dia mengusahakan kemengoratan dirinya ke atas Aiu, berkata di depan Sare'ah, di depan aku sendiri.

" Abang ni syok kat Sare'ah. Kahwin la dengan dia. Dia pun nak kahwin dengan Sare'ah." - FACEPALM -

Sareah dengan muka merah padam, antara senyum malu atau senyum tawar, terus ke dapur. Kelibatnya kemudian tak lagi kelihatan. Aku dengan rasa malu yang amat sangat, memberikan satu tiu yang berpatutan kepada Jaha.

Perancangan aku semakin gagal. Bukan begitu caranya untuk meminang anak orang. Dengan cara yang kasar, selamba dan dengan aku sendiri ada kat situ. Apa boleh buat, Jaha aku kenal 20 tahun. Sareah aku kenal 2 bulan. Malam tu malam last aku jumpa Sareah sebab tiket tren aku ke KL jam 2 pagi.

Minggu berikutnya, aku tak balik. Dua minggu kemudian, Sareah dikhabarkan oleh si kakak ipar tak jadi ini, telah pulang ke Yala. Kata kakak dia, dia malu. Ko ambik order bogel ke nak malu-malu?

Tapi kita kena hormat. Mungkin tahap kemaluan orang Patani dengan orang kita berbeza-beza. Mungkin bagi kita, itu tidak apa. Tapi mungkin bagi mereka, itu tak boleh diterima.

Nak jadi cerita, Jaha juga kecewa dengan Aiu. Aiu yang disangka suri hidupnya, rupa-rupanya Pau Suri yang tak menjadi. Aiu mematahkan hati Jaha dengan kata-kata tak lebih sebagai kawan. Beberapa ketika, Aiu tidak lagi muncul-muncul di meja kami walaupun sebelum tu, hari-hari.

Tak mengapalah. Setidaknya aku cuba. 'Kakak ipar' pun serba salah setiap kali aku ke Siamese hari ini sebab memang itu la tempat lepak kami-kami di malam hari, setiap hari di hometown aku. Tak ada sebab aku nak lari dari Siamese. Engkau pergi aku takkan pergi, kau menjauh aku takkan jauh. Lagu lagi. 

Tiada apa untuk aku kenangi. 22.12.2012 akan menjelma dan berlalu pergi. Aku pulak kekal begini, dan sudahlah, esok nak bangun pagi. 

Perlepakan kami di Siamese

1 comment: