Thursday, September 27, 2012

Kehilangan Sultan Street Railway Station, Kuala Lumpur

Mula-mula saya tengok peta KL ialah pada sebuah diari 1984 yang ada tergambar peta KL di awal-awal mukasuratnya. Pandangan saya tertarik kepada sebuah jajaran landasan keretapi dari Cheras menuju Puduraya. Setelah saya berhijrah dan bekerja di  KL , baru saya tahu bahawa laluan STAR LRT menuju ke Ampang telah dibina di atas rizab KTMB bagi landasan keretapi Pudu ke Ampang. Mungkin sebab itulah harga tiket laluan tersebut mahal lah jugak berbanding laluan ke Sri Petaling.

Tapi apakah sejarah sebenar landasan keretapi 'sesat' tersebut? Baru hari ini saya dapati dari sebuah forum di internet dan dari hasil carian Google yang telah saya buat susulan penemuan fakta itu.

Peta KL 1895

Laluan sulung Selangor State Railway yang terbina di Kuala Lumpur ialah menghubungkan KL ke Bukit Kuda di Klang yang siap pada 15.09.1886 . Stesen keretapi Kuala Lumpur pada masa itu terletak berhampiran Dataran Merdeka hari ini, lebih tepat, di kawasan yang kini menjadi bulatan bawah jejambat Jalan Kinabalu berhampiran Bank Rakyat. Hanya pada tahun 1926 barulah lencongan dibina dengan menebuk lereng Bukit Aman bagi membolehkan double track dibina di kawasan tersebut.

Untuk ke Selatan, laluan keretapi dicabangkan dari tapak stesen keretapi Kuala Lumpur hari ini, merentas Sungai Klang menuju ke arah Pudu di mana di kiri kanannya dibina jalan raya. Itulah Jalan Tun Tan Cheng Lock hari ini yang dahulunya dipanggil Foch Avenue. Terdapat 2 lintasan terbuka iaitu persilangan Jalan Tun HS Lee (High St.) dan Jalan Petaling (Petaling St) sebelum tiba di stesen Jalan Sultan (Sultan St. Station) dan terus ke Stesen Pudu. Laluan ini siap pada 01.06.1893.

Kemudiannya, laluan Pudu ke Sungai Besi disiapkan pada 01.03.1895 dan meneruskan laluan ke selatan, jajaran Sungai Besi ke Kajang disiapkan pada 18.08.1897.

Setelah lengkap laluan keretapi ke Johor Bahru siap pada 1910, laluan Foch Avenue melalui Pudu ini masih digunakan sebagai laluan ke selatan. Hanya pada 01.09.1913 , sambungan dari laluan ke Klang telah disambungkan ke laluan ke Selatan di Salak Selatan melalui Seputeh, yang menjadi laluan ke Selatan yang digunakan sehingga hari ini.

Pada 01.05.1914 pula, satu laluan dari kawasan letaknya stesen LRT Chan Sow Lin hari ini telah disiap dibina menuju ke Ampang.

Jaringan membelah kota ini tidak bertahan lama. Setelah 23 tahun melalui tengah jalan Foch Avenue, ia terpaksa dihentikan oleh kerana kepesatan pembangunan Kuala Lumpur.

Pada tahun 1920 , pihak berkuasa memutuskan untuk memunggah laluan keretapi dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur hingga ke Stesen Keretapi Jalan Sultan di atas Foch Avenue kerana kesesakan lalulintas yang semakin parah. 

Stesen Keretapi Jalan Sultan diubahsuai menjadi stesen penamat bagi laluan dari Ampang dan laluan dari Sungai Besi yang melalui Pudu. Perkhidmatan 'railcar' berkuasa stim yang dibuat di Sentul diperkenalkan bagi laluan Sultan Street - Pudu - Ampang.

Perkhidmatan ini ditamatkan pada tahun 1960 dan Stesen Sultan Street dipunahkan bagi memberi laluan sambungan Jalan Pudu yang baru ke Foch Avenue. Kedudukan Stesen Sultan Street hari ini ialah betul-betul di atas jalan berhadapan Nando's di persimpangan Jalan Sultan - Jalan Tun Tan Cheng Lock.

Imej 1910 ketika laluan keretapi masih merentasi Jalan Tun Tan Cheng Lock

Imej 1950an setelah laluan atas Jalan Tun Tan Cheng Lock dihapuskan.




 Kedudukan Sultan Street Station di hujung Jalan Tun Tan Cheng Lock berhadapan Nando's hari ini.

Imej 1950an setelah seksyen Jalan Tun Tan Cheng Lock telah dihapuskan.
Imej 1950an Sultan Street Station yang menjadi penghujung Jalan Tun Tan Cheng Lock dan railcar yang digunakan.

 Stesen Keretapi Ampang pada tahun 1950an

Stesen Keretapi Pudu pada tahun 1978. Di tapak ini hari ini berdirinya Stesen LRT Pudu.

Stesen Keretapi Pudu pada 1993 yang menunggu untuk pembangunan LRT.



2 comments:

  1. Assalamualaikum. Terima kasih atas penulisan ini. Mohon kebenaran mengakibkan foto2 ini dan share artikel ini.

    ReplyDelete