Tuesday, February 14, 2012

MESTI BACA : SEJARAH HARI VALENTINE

Hari St. Valentine, atau lebih dikenali sebagai Hari Valentine mula dijadikan cuti umum setiap 14 Februari untuk memperingati dua paderi besar Kristian yang 'mati syahid' bernama St. Valentine yang dihukum mati oleh Maharaja Rom Claudius II pada tahun 269.

Hari Peringatan St. Valentine dimulakan oleh Pope Gelasius I pada tahun 496 , tetapi digugurkan dari cuti umum dalam Kalendar Saint Roman Katolik pada tahun 1969 oleh Pope Paul VI mungkin kerana elemen sambutan yang sudah lari dari tujuan asal.

Hari yang dikenang sebagai pengorbanan demi agama telah menjadi lambang cinta sesama manusia. Kemerapuan ini dikatakan bermula sejak sajak pertama tulisan Geoffrey Chaucer pada perkahwinan Raja Richard dan Anne of Bohemia pada tahun 1381 dan menjadi popular selepas sebuah institusi kehakiman yang menguruskan jenayah kekerasan terhadap wanita di Paris mengadakan ritual kasih sayang pada 14.02.1400.

Ia kemudian terus dipopularkan oleh William Shakespeare menerusi naskah Hamlet. Bagi penganut kristian Ortodoks, Hari St. Valentine bukanlah hari berkasih sayang melainkan hari mengenang pengorbanan Saint Valentino untuk agama Kristian itu sendiri.

Oleh kerana penganut Kristian negara ini menganuti Kristian dari dakwah gerakan Evangelicalisme yang bermula 280 tahun lalu, Hari St. Valentine tidak lebih dari hari memperingati kekasih yang telah dimulakan 600 tahun yang lalu dan tidak untuk memperingati St. Valentino yang 'mati syahid', 1700 tahun lalu.

Perlu diingat bahawa Rasulullah SAW dilahirkan pada tahun 571. maka St. Valentino adalah pembawa syiar agama Allah pada masa itu kerana ajaran tauhid dari Nabi Isa melalui Injil masih belum ditakrifkan sebagai ditamatkan oleh himpunan kitab terdahulu yang diperlengkapkan oleh Al Quran kitab akhir zaman yang diturunkan kepada Nabi Muhammad pada tahun 611.

Polemik yang timbul masa ini ialah soal akidah umat Islam yang menyambut Hari Kekasih ini. Soal akidah, bukanlah bermula di internet melainkan bermula dari ibu bapa dan pendidik sendiri.

Menurut Islam, meraikan perayaan agama lain melalui ritual-ritualnya telah dilihat sebagai gugur akidah. Seperti sekiranya seorang Kristian yang mengangkat kavadi di hari Thaipusam. Pastilah akidah Kristiannya dipersoal oleh pihak gereja. Tidak dapat tidak, merayakan Hari Valentine sebagai Hari Kekasih tidak lebih dari mengikuti langkah menggolongkan diri dikalangan Kristian hasil Evangelisme.

Pun begitu, ini bukanlah lesen besar untuk kita menyebarkan tanpa rasa sensitif tentang haramnya menyambut Hari Valentine ini. Barat mencipta Hari Pekerja, Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, mengikut kesesuaian waktu.

Namun oleh kerana sejarah Hari Kekasih bermula sejak 600 tahun dahulu bertarikh 14 Februari, maka mereka mengekalkan bukan sahaja tarikh tersebut malah nama sambutan hari tersebut, Hari St. Valentine.

Jika banyak negara memilih untuk mengadakan Hari Ibu berbeza-beza tarikhnya, contohnya Indonesia menyambutnya pada 22 Disember, mengapa kita tidak mampu mengadakan sambutan Hari Kasih Sayang pada tarikh yang lain?

Kedua-dua pihak, baik Kristian mahupun Muslim di negara ini seharusnya berhenti dari mengeluarkan kenyataan yang saling mengguris perasaan pihak yang lain berhubung perayaan agama masing-masing, kerana banyak perkara sebenarnya tidak terkandung dalam pemikiran itu lagi. Lagi pula ketahuilah bahawa Kerana Allah Lebih Mengetahui.

Cukuplah untuk Kristian merayakan perayaan mereka sendiri tanpa gangguan dan Muslim pula merayakan perayaan mereka sendiri tanpa gangguan.

Sekian untuk makluman.

No comments:

Post a Comment