Friday, December 3, 2010

Mormon Memuja Semenanjung Malaysia?

Mormonisme diasaskan oleh Joseph Smith Jr berdasarkan Book of Mormon tulisannya pada tahun 1830. Joseph mengajar doktrin keagamaan yang meluas meliputi teori-teori sains dan politik, menolak konsep Trinity dan mencipta takrif kebertigaan Tuhan mengikut fahaman sendiri serta menubuhkan gerakan Latter Day Saint. Dia dianggap menerima wahyu terus dari Jibril oleh pengikutnya. Menurut penganalisis Barat, ajarannya yang hampir sama dengan Islam antaranya :

1. Mengamalkan poligami (kemudiannya dibatalkan)
2. Mempercayai dan menjalani ibadah puasa.
3. Menekankan kepentingan institusi kekeluargaan.
4. Mempercayai Injil telah diubah dari asalnya.
5. Mengamalkan wuduk sebelum beribadat.
6. Mengharamkan arak, judi, homoseksual dan biseksual.
7. Mempercayai azab neraka mengikut perbuatan.
8. Tidak menyembah nabi sendiri (Joseph Smith 'nabi' mereka)
9. Menjalankan dakwah ke atas golongan atheist.
10.Mengamalkan zakat dan membantu fakir.

Pun begitu, Mormon masih menganggap diri mereka Kristian. Kristian yang menghidupkan semula ajaran tua yang mereka berpendapat merupakan agama yang asli, yang dianuti oleh semua para nabi.

Book of Mormon pula menceritakan tentang tempat "tanah yang dijanjikan" atau Land of Promise yang sentiasa diperdebatkan. Menurut buku itu, Land of Promise terletak di kawasan yang hampir dikelilingi air keseluruhannya.

Maka berkaji-kajianlah penegak Mormon mencari tanah yang dijanjikan dan akhir-akhir ini, mereka yakin bahawa tanah tersebut ialah Semenanjung Malaysia, sesuai dengan ciri jarak tempoh dan lokasi seperti terbayang dalam kitab berkait.

Di negara ini, melalui dasar bebas beragama dan kesedaran pendakwah Mormon tentang larangan ke atas sebarang usaha menyebarkan fahaman mereka ke atas Islam, kita dapat melihat pendakwah mormon yang sentiasa berpakaian kemas dan kebanyakannya bangsa kulit putih, selalu berdakwah kepada orang-orang Cina dan India di tempat-tempat awam di negara ini.

Hakikatnya mereka bukanlah untuk kita berasa fobia atau apa-apa. Cuma Mormon tetap tidak diiktiraf sebagai anutan yang betul oleh Islam. Soalnya, seberapa kuat pegangan dan pengetahuan tentang Islam pada minda anak-anak Islam di Malaysia?

Fahaman Mormon yang mempercayai orang Melayu merupakan genetik bangsa purba yang diceritakan melalui buku-buku yang meriwayatkan tentang bangsa yang dihantar ke tanah yang dijanjikan beribu-ribu tahun lalu mungkin dengan mudah meresapi pemikiran bangsa. Sebuah blog menceritakan kupasan ini dengan penuh olahan menarik.

Mormon merupakan ajaran mesra, tidak kasar, halus, bersopan, tajam berfikir dan terus mengkaji. Walaubagaimanapun, kajian mereka hakikatnya telah dihuraikan Islam dan dengan didikan agama yang betul, tidak ada apa yang dikhuatirkan oleh orang Islam.

Cuma lokasi Land of Promise itu menyentak jiwa dengan rasa bahawa, amat berat tanggungjawab umat Islam hari ini untuk memelihara akidah anak cucu mereka di masa depan.

Malangnya, Melayu hari ini terus hanyut dan membiarkan akidah tauhid terhakis dan ada juga yang telah hilang kemantapan akidah, kemaruk wang, memeluk Mormonisme kerana 'diberi zakat'. Salah siapa?

No comments:

Post a Comment