Tuesday, March 9, 2010

Krabi 13 : Perjalanan Pulang 24 Jam

Aku bangun pagi agak awal. Jam 7.00 pagi waktu Siam. Elok pun. Kedai sewa motor tu bukak pukul 7.00. Aku pun siap-siap nak hantar motor. Tidur malam aku terganggu dengan bunyi mercun yang aku ingat tembak menembak kat disko sebelah. Yelah. Thailand kan. Kat pintu disko terpampang sign "No Pistol Allowed". Tapi takde apa-apa. Aku mandi dan siap-siap.

Ada la berat hati sikit aku nak tinggalkan Krabi. Apakan daya, keretapi aku akan bertolak jam 2.30 petang, 285km dari sini. Aku pun hantar motor, ambik passport aku yang tergantung di kedai sewa motor tu. Fuh. Selamat tiket keretapi aku ada dalam tu lagi.


Maharaj 5, dalam samar pagi Isnin 15.02.2010. Raya Cina Kedua di tanahair.


JP Mansion yang akan aku tinggalkan kejap lagi. Aku sempat suruh pekerja tu "say my thanks to.. err.. err..." taktik aku nak tau nama owner dia. "Ren?" jawab dia. "Yes.. Ren. Say my thanks to him.." kata aku. "OK!" jawabnya. Aku pun berambus.


Traffic light manusia beruk di tengah Krabi. Sejarahnya kata mereka, Krabi adalah kawasan pra-sejarah di Thailand. Penemuan relik-relik purba paling tua di Thailand dikatakan banyak di Krabi.


Kelengangan hening pagi pekan Krabi. Budak-budak dah pergi sekolah. Rupanya Raya Cina bukan cuti umum di Thailand.



Inilah ikon Krabi. Muara, selut, gunung dua ketul, dan bot-bot.

Aku pun menerpa kepada teksi motor dan menyebut bus station. Sampai sana aku bayar dia 50 Baht dan aku diterpa ulat tiket. " Hat Yai!" kata aku kat ulat tu. Dia pun bawak aku ke kaunter. Hat Yai 8.30 pagi. Sekarang baru pukul 8.00 pagi. 218 Baht. Eh. Mahal pulak. Aku pun keluar isap rokok. Kurang orang yang melanggar arahan Dilarang Merokok di Thailand.


Inilah kaunter tiket bas tu. Macam menipu je. Tapi takpe. Ramai yang beli tiket ke Hat Yai.


Kat luar stesen ramai peniaga jual ayam goreng berlonggok dan pulut sebuku. Tak hygenic rasanya. Dengan asap bas debu segala. Jangan buat pasal. Kang nak terberak bagai. Dah la 5 jam atas bas.

Padah. Bas datang pukul 9.00. Bas tu en route Phuket ke Betong. 2 tingkat. Cantik. Tapi pukul berapa kau mau sampai Hat Yai. Mau-mau pukul 2!

Ada stewardess lah. Aku tanya kat sorang yang kulit gelap macam Melayu tu. "Number? Seat number?". Sebab nya takde tulis nombor seat. "Duduk. Duduk." sahut dia dengan senyuman. Eh. Boleh cakap Melayu. Hehe. Aku tahu dia nak sebut "free seating" tapi tak reti.


Tempat aku blah atas. Ni la first time aku naik bas 2 tingkat walaupun kat negaraku sendiri, bas 2 tingkat dah banyak makan nyawa orang.



Bas menyinggahi stesen bas baru bandar Trang. Masa pergi, bas aku naik tu tak lalu sini. "Kejap lagi. Berhenti, makan nasik." ujar stewardess tu. Aku senyum.


Tempat singgah yang sama macam masa pergi. Kali ni aku makan nasik. Hidangan berharga 35 Baht. Makin selatan makin murah. Hehehe.


Hentian rehat bertulisan jawi yang entah bila akan aku singgah lagi.



Baru aku berkesempatan membelek kenderaan yang dah bawak aku 120km. 170km lagi menunggu.



Melintasi banjaran gunung yang memisahkan Trang dan Patthalung. Patthalung dan Hatyai dikira kawasan Pantai Timur kerana banjaran gunung ini adalah permulaan bagi Banjaran Titiwangsa di negara kita.


Sebelum sampai Patthalung, terdapat simpang belok kanan untuk ke Hatyai dan bas pun membelok.

Aku sampai Hatyai tepat pukul 2 petang. Berpeluh ketiak aku dengan bas ni memikirkan sempat atau tidak aku kejar tren bali Ipoh. Sebaik turun, aku menerpa teksi motor dan menyebut railway station. Zass. Dengan laju aku didespatchkan ke railway station. Wang kertas Baht yang tinggal dalam wallet cuma ada 70 Baht. Aku bagi semuanya kat mamat teksi motor tu. Puas hati. Aku kini tiada not matawang Thai lagi kecuali duit syiling 19 Baht. Jumlah keseluruhan yang aku telah tukar tak sampai RM500.

Aku terus ke kaunter. Yang bertugas ialah seorang budak muka iras Melayu. "Is this train is here or not yet?" aku tanya dia sambil tunjuk tiket. Masya Allah. terpinga-pinga dia. Dia bercakap Siam dengan aku. "No. I want to know if the train is already there." jerkah aku. Dia senyum kerang busuk."Dah sampai belum?" aku mencuba bahasa Melayu. Dia senyum dan menggeleng kepala. " Where Platrofm?" tanya aku. Dia membuat isyarat 4 jari. Sambil angguk-angguk. Pergh. Penat. Itu je aku nak tau. Bye. Kat stesen tu ada kawalan masuk pulak. Siap gerbang scanning bagai. Itu hari takde pun.



Kesibukan stesen keretapi Hat Yai membuatkan lintasan sesuka hati abah engkau digunapakai.


Tu dia. KTMB dianak tirikan. Diletak hujung platform tengah panas.



Tren pun dah cukup kutip orang. Lalu bergerak menuju tanahair.

Dalam perjalanan, aku terpinga-pinga bila tempat aku diduduki oleh akak-akak bertudung. Sorang brader dan bini dia senyum je tengok aku. "Lepas Padang Besar baru ikut number." kata dia. Oh. Begitu. Kami bersembang. Dia teruja bila tau aku baru balik Ko Phi Phi on my first visit to Thailand. Dia kata dia dah tujuh lapan kali ke Hat Yai. Tapi tak pernah pergi sejauh tu dari Hat Yai. Kami bersembang sampai Padang Besar. Di Padang Besar, kami minum bersama sementara menanti tren disambung panjang. Kami terpisah bila dia ke unit kabin yang dia tempah. Aku dok Second Class je.




Tren tersadai di Padang Besar selama sejam setengah akibat kerosakan air cond. Sampai Padang Besar, aku dah boleh langgan internet Daily Pass. Sibuk berfacebook. Tetiba, Shin comment kata semalam ada tren terbalik. Dan serentak tu, inspektor tiket tu datang kata kemungkinan kami akan tersadai di Alor Star sebab kerja alih dan baiki landasan tengah giat dibuat. 28 gerabak freight tergelincir di Gurun.




Pemandangan di kawasan Bukit Keteri, Perlis.


Walaupun aku tak dapat nak snap gambar matahari terbenam kat Phi Phi dua hari lepas, tapi Nokia E71 aku menghadiahkan gambar mentari terbenam dari jendela tren di bumi Perlis.

Krisis melanda. Keretapi tersadai di Alor Star selama 6 jam. Zoul yang kononnya nak datang lepak, non ado wujudnya. Aku la gatal taruh kat status facebook. Dan si Zoul gatal plak kata nak datang stesen keretapi. Aku mula beramah mesra. Negro, benggali, European, Klangite, Johorian, Yop Perak semua aku bersembang. Brader yang dengan bini dia tadi pun sempat lagi pergi beli KFC kat pekan Alor Star.

KTM menawarkan bas sebanyak 4 buah untuk penumpang ke KL. Memandangkan aku nak ke Ipoh, sayonara. Tunggu saja. Keretapi bergerak jam 12.30 malam. Aku tertidur.

Sebaik aku sedar, dah sampai Bukit mertajam. Aku meluru keluar ke kantin stesen. Aku sapu nasi, ayam masak kicap dengan sayur kobis. Bawak naik tren, makan, dan sambung tidur. Aku tidur dengan meletakkan kepala di tingkap dan melindung diri dari lampu koc yang terang dengan langsir tingkap.

Bila aku rasa muka aku kepanasan, aku tersedar yang matahari pagi dah memanah muka aku. Aku pun keluar dari sembunyian balik langsir.

"Abang turun Ipoh kan?" tanya sorang teman sembang aku masa kat Alor Star." Haah.." aku jawab sambil menggeliat. " Ipoh baru lepas la bang.." dia jawab selamba. Aku perhati luar. Blur. Aku rasa macam kat Chemor. " Ko jangan main-main. Belum lah." aku jawab salam gabra. "Betul la bang. Ya Allah. Nak tipu buat apa!" jawab dia. "Dah lepas dah la. Dia tu tidur sembunyi belakang langsir." sampuk akak sebelah aku yang naik kat Sungai Petani. Aku pandang luar. Thats it! Keretapi melintasi stesen kecik Lahat. Ya Allah. Baru lepas lah!

Aku kalut. Tapi berfikiran panjang. Aku terus menduga tren pagi KL - Ipoh yang bertolak jam 5.30 dari KL. Jam dah pukul 8.15 pagi. Sempat atau tak aku nak naik tren tu kat Batu Gajah nanti?

Elok je tren aku naik tu berhenti 5 saat kat Batu Gajah terus aku pergi kat Station Master Batu Gajah tanya pasal tren ke Ipoh. Dia suruh aku cepat ke platform seberang, bawak tiket aku dari Hatyai tu. Tren KL - Ipoh dah dekat sangat. Memang dekat la. Elok aku turun tangga platform seberang, kelibat tren tu dah aku nampak.


Akhirnya aku berjaya sampai Ipoh, 700 km ke selatan Krabi, kira-kira 24 jam selepas aku bertolak semalam. Badan aku dah bau karat keretapi dah. Kalau tak kerana 7 jam setengah tersadai angkara KTMB, perjalanan keseluruhan hanya mengambil masa 16 jam setengah.

Puas hati aku bila trip kali ini selamat dijayakan oleh aku seorang diri. Harap member? Hot-hot chicken shit, warm-warm chic's excretion je. Krabi masih dekat di hati. Phi-Phi masih melampai-lambai lagi. Phi-phi yer. Bukan 2000 mangsa tsunami tu. Huhu.

No comments:

Post a Comment